Sekumpulan anggota polis terpaksa menggunakan tangga untuk mendapatkan seorang wanita yang bertindak memanjat bangunan Statue of Liberty. foto News.com

NEW YORK – Seorang wanita yang memanjat Statue of Liberty (Patung Kebebasan) sebagai protes kepada pemisahan keluarga pelarian ditahan selepas pihak berkuasa mengambil beberapa jam untuk mendapatkannya.

Pihak berkuasa telah berusaha memujuk supaya wanita itu turun daripada struktur bangunan itu namun dia enggan.

Sebaliknya, wanita itu berada dua jam di atas lambang kebebasan itu dengan mengelilingi dan duduk di lipatan pakaian dan sandal patung Lady Liberty.

Tanpa membuang masa, pihak berkuasa telah menggunakan alat memanjat untuk mendapatkan wanita tersebut.

Meskipun begitu, usaha menangkap wanita itu tidak mudah kerana beliau bertindak mengelilingi patung berkenaan.

Wanita yang dikenal pasti sebagai Therese Patricia Okoumou. Dia dipercayai antara yang terlibat dalam protes semalam.

Okoumou dikatakan enggan turun daripada struktur bangunan itu sehingga semua kanak-kanak pendatang yang dipisahkan dengan keluarga mereka dibebaskan, menurut Jabatan Polis New York.

Wanita itu ditahan oleh Polis Persekutuan dan akan dipindahkan ke Pejabat Polis di Manhattan untuk didakwa kerana melakukan pencerobohan, kelakuan tidak senonoh dan campur tangan dengan fungsi kerajaan.

Terdahulu, penunjuk perasaan lain membentangkan sepanduk di atas landasan patung yang mengatakan “Menghapuskan ICE!”

Sekurang-kurangnya tujuh orang ditangkap di Liberty Island dan tapak bangunan itu ditutup kepada pengunjung. – MalaysiaGazette