Sebuah bot dan kapal persiaran terbalik di Phuket, Thailand.
Sebuah bot dan kapal persiaran terbalik di Phuket, Thailand.

BANGKOK –Lima puluh lapan pelancong yang berada di dalam sebuah bot dan kapal masih tidak dijumpai selepas kedua-duanya terbalik akibat ombak besar di pulau popular, Phuket, semalam.

Menurut Gabenor Phuket, Noraphat Plodthong, seorang pelancong China disahkan mati akibat insiden yang berlaku kira-kira 5.45 petang semalam.

“Kebanyakan yang masih hilang adalah pelancong China yang menaiki bot penyelam “Pheonix Diving” yang membawa 105 penumpang ketika kejadian berlaku.

Seorang disahkan mati, 56 masih hilang dan 48 penumpang lagi berjaya diselamatkan,” katanya semasa sidang media di Phuket hari ini.

Kebanyakan mangsa yang masih hidup diselamatkan oleh nelayan-nelayan berdekatan dan dipindahkan ke pulau besar.

Ribut semalam telah menyebabkan ombak setinggi lima meter sehingga sebuah kapal persiaran “Serenitta” terbalik manakala 42 penumpangnya tercampak ke dalam laut.

Empat puluh daripadanya berjaya diselamatkan manakala dua lagi masih hilang.

Kapal persiaran tersebut sedang dalam perjalanan pulang ke Pulau Koh Racha.- BERNAMA