Pengerusi Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam berucap ketika mengadakan demonstrasi aman berkaitan pembekuan akaun milk keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhampiran pusat beli belah, Sogo di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL.
Pengerusi Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam berucap ketika mengadakan demonstrasi aman berkaitan pembekuan akaun milk keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhampiran pusat beli belah, Sogo di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Polis dan Mahkamah sepatutnya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn. Bhd, Nik Faizal Ariff Kamil berkaitan pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta.

Sebuah Badan Bukan Kerajaan iaitu Pemantau Malaysia Baharu (Pemantau) mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukannya individu sebenar seharusnya dibicarakan dalam pertuduhan itu.

“Kalau kita lihat kononnya tuduhan ke atas Najib ialah didakwa pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan dana RM42 juta dimasukkan dalam akaun peribadinya dari SRC International.

“Sebenarnya beliau (Najib) langsung tidak tahu wang itu dimasukkan dalam akaun beribadinya.

“Ini lagipun, akaun yang berkenaan bukan akaun peribadi beliau sebaliknya akaun yayasan dana UMNO yang diuruskan oleh bekas CEO SRC, Nik Faisal.

“Sebenarnya Nik Faisal yang sepatutnya dicari dan disiasat oleh pihak berkuasa,” kata Presidennya Lokman Noor Adam kepada pemberita selepas berhimpun di hadapan pusat membeli belah, Sogo di ibu negara malam ini.

Turut menyertai himpunan yang berobjektifkan menyokong Najib yang kini menghadapi empat pertuduhan di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, ialah Datuk Huan Cheng Guan selaku penaung Gerakan Sivil dan Hak Asasi Manusia Malaysia (CHaRM) bersama 40 orang penyokong setia Najib.

Sekitar 50 orang anggota polis serta anggota cawangan khas dari IPD Dang Wangi terlibat dalam kawalan keselamatan dan memantau perhimpunan aman itu.

Beliau menggesa pihak berkuasa mencari Nik Faisal untuk mengetahui perkara sebenar mengenai penyelewengan RM42 juta itu dan tidak mengganggu dan menganiaya bekas pemimpin negara itu dan keluarganya. – MalaysiaGazette