KUALA LUMPUR – Ada dua kemungkinan mengenai perkembangan terbaharu ahli perniagaan, Jho Low yang sedang diburu pihak berkuasa Malaysia ketika ini.
Kemungkinan itu ialah sama ada beliau sudah meninggalkan Macau atau dalam proses untuk mendapatkan suaka politik daripada wilayah itu, lapor South China Morning Post (SCMP) hari ini.
Menurut akhbar harian Hong Kong itu, maklumat daripada pihak keselamatan dalaman mengatakan Jho Low mungkin menjadikan hab perjudian itu sebagai tempat berlindung daripada buruan pihak berkuasa untuk melakukan ekstradisi terhadapnya..
Sumber dalaman memberitahu SCMP, tempoh maksimum selama 30 hari yang dibenarkan ke atas ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu untuk tinggal secara sah telah berlalu.
Oleh itu, satu-satunya pilihan yang ada bagi beliau ialah meminta suaka dengan pihak berkuasa imigresen.
“Khabar angin mengatakan Jho Low menghabiskan masa di Macau telah tersebar selama lebih sebulan lalu dan ini masuk akal kerana walaupun Malaysia mempunyai perjanjian bantuan guaman bersama (MLA) dengan Hong Kong Kong, tetapi mereka tidak mempunyai perjanjian dengan Macau,” lapor akhbar itu yang memetik sumber keselamatan dalaman.
“Bagaimanapun, dia tidak boleh tinggal di Macau selama lebih dari 30 hari, dan jika dia keluar masuk untuk kali ketiga, kerajaan akan menghalaunya keluar.
Menurut akhbar itu, tujuh minggu adalah tempoh maksimum Jho Low boleh tinggal di wilayah itu, namun tempoh itu telah berlalu.
“Dia tidak boleh berada di Macau lagi. Kecuali dia telah meminta suaka,” akhbar itu melaporkan sumber tersebut sebagai berkata.
SCMP berkata, pihak berkuasa imigresen Macau belum menjawab pertanyaan mereka mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette
















