Bapa mangsa menunjukkan kesan lebam di tubuh anaknya disyaki dipukul oleh teman lelaki bekas isterinya.
Bapa mangsa menunjukkan kesan lebam di tubuh anaknya disyaki dipukul oleh teman lelaki bekas isterinya.

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak berusia 6 tahun didapati lebam di mata, bengkak di kepala, kesan pukul di belakang badan dan luka di paha dipercayai dipukul teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Kampung Ibu Baru, Tampoi di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, laporan polis dibuat di Tangkak pada 5 Julai sebelum kes itu dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS.

Menurut laporan, katanya, ibu bapa mangsa masing-masing berusia 31 tahun itu didapati telah bercerai dan ketiga-tiga anak pasangan itu termasuk mangsa dijaga bapa mereka di Tangkak.

Shahurinain berkata, bapa mangsa berusia 33 tahun dan bekerja kilang mendakwa mangsa semasa pulang ke Tangkak Khamis lalu memberitahu bahawa dia dipukul teman lelaki ibunya semasa berada di Johor Bahru.

“Sejurus sampai di rumah, bapa mangsa menyedari terdapat kesan lebam pada bahagian mata sebelah kanan, bengkak pada bahagian kepala, kesan pukul pada belakang badan, kesan lebam dan luka pada paha kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bapa mangsa mendakwa semasa menyerahkan anaknya kepada bekas isteri, tiada sebarang kecederaan dikesan pada muka dan badan mangsa melainkan kesan kudis dan elergik di siku.

Sehubungan itu, tambahnya, polis kini memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut bagi siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan / Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga. – MalaysiaGazette