Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra dengan penduduk Sg. Kantan ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2018 Dun Kajang di Sg. Kantan, Kajang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 08 JULAI 2018

KAJANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, calon Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat sudah diputuskan dan telah diberikan ke Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk pertimbangan.

Kata, semua bergantung kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan.

“Kita ada buat mesyuarat dan akan buat satu perjumpaan antara PH di peringkat tertinggi dan kita akan buat keputusan kerana cadangan nama Speaker perlu diputuskan sebelum sidang Parlimen bermula seminggu lagi.

“Kita sudah berikan senarai calon kepada PM dan itu adalah kuasa beliau untuk putuskan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2018 DUN Kajang hari ini.

Wan Azizah adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming yang juga Ahli Parlimen Bangi, ADUN Kajang Hee Loy Sian.

Media sebelum ini melaporkan bekas menteri UMNO, Tan Sri Dr Rais Yatim dan bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh, masing-masing sedang dipertimbangkan untuk menduduki kerusi Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Rais menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setelah lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Persidangan mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen Ke-14 dijadualkan berlangsung selama 20 hari, mulai 16 Julai ini.

Sebelum ini, Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah memaklumkan nama calon Speaker perlu dikemukakan dalam masa 14 hari sebelum penggal pertama Parlimen ke-14 mula bersidang 16 Julai ini.

Nama calon Speaker baharu bagi sidang Parlimen ke-14 perlu diberikan sebelum 2 Julai lalu. -MalaysiaGazette