KUALA LUMPUR – Ethis Ventures Sdn Bhd telah melancarkan platform masyarakat berasaskan dana kebajikan (charity crowdfunding), GlobalSadaqah.com.

Dengan pelancaran Global Sadaqah, Ethis Ventures akan menjadi penyelesai teknologi kewangan (Fintech) bagi kewangan Islam sepenuhnya.

Pelancaran platform itu dibuat bersama-sama dengan rakan-rakan utama termasuk Mercy Malaysia, Islamic Relief Malaysia dan Yayasan Institut Jantung Negara.

Global Sadaqah juga menjalinkan kerjasama dengan Islamic Development Bank Group (IsDB) dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Pengasas Bersama Ethis Ventures, Umar Munshi berkata, syarikat itu mahu memberi fokus menarik institusi-institusi ekonomi Islam dan para pemegang kepentingan untuk bekerjasama dengannya.

Menurut beliau, dalam beberapa bulan selepas penubuhannya, Ethis Ventures telah menguji Global Sadaqah dengan menarik rakan-rakan strategik dan meletakkan mereka dalam lembaga.

Sebagai permulaan, rakan strategiknya, Halal Chain telah menyumbang sebanyak 100,000 HLC, token kripto pertama untuk diterima oleh Global Sadaqah.

Pada suku pertama tahun ini, Global Sadaqah dengan Bank Islam berjaya meraih dana-dana dan kesedaran bagi program kewangan sosial, Sadaqa House.

Tiga kempen yang dijalankan bagi membiayai pembedahan jantung bagi kanak-kanak dengan Bank Islam memberi padanan sumbangan dolar-ke-dolar untuk menggalakkan orang ramai menyumbang kepada Yayasan IJN.

Katanya, Global Sadaqah kini fokus kepada projek utama dengan IsDB, untuk melaksanakan pelbagai kempen untuk menangani masalah buta di Afrika dan meningkatkan petani kecil di Suriname. – MalaysiaGazette