Datuk Lokman Hakim Ali
Datuk Lokman Hakim Ali

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membuka kertas siasatan terhadap dakwaan senarai kakitangan awam yang dilantik bekerja di bawah menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut beliau, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali telah diarahkan untuk menyiasat dakwaan tersebut.

“Saya rasa ada unsur sabotaj kepada saya dan saya sudah arahkan agar siasat segera dan tindakan susulan akan diambil. Memang tidak ada apa-apa lantikan cuma ada kelam-kabut sahaja.

“Kita akan siasat siapa yang sabotaj. Kita kena tunggu dulu sampai siasatan selesai,” katanya ketika ditemui media di perkarangan KBS hari ini.

Sebelum ini direktori kakita­ngan KBS yang memaparkan nama Numan Afifi Saadan dilantik sebagai pegawai tugas-tugas khas di pejabat kementerian itu.

Pelantikan itu dihambat kontroversi apabila Numan dikaitkan sebagai seorang pejuang LBGT.

Malah menurut carian Google, Numan merupakan presiden Kempen Pelangi yang menjadi tumpuan media kerana menganjurkan program “Iftar Gay” pada Jun 2017.

Awal hari ini, Numan membuat keputusan menolak tawaran sebagai Pegawai Akhbar Syed Saddiq.

“Saya ada jumpa Numan dan tanya pandangan dia. Seperti peringkat awal, beliau memang kawan dan bantu di peringkat awal sampai ke proses penyerahan tugas kepada lantikan.

“Dia sendiri ambil ketetapan untuk tidak terus bersama saya bila sudah lantik Setiausaha Akhbar,” jawab Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengenai kenyataan rakannya itu. – MalaysiaGazette