Majlis Profesor Negara (MPN) yang telah dibubarkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan akan berfungsi sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Majlis Profesor Negara (MPN) yang telah dibubarkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan akan berfungsi sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Majlis Profesor Negara (MPN) distruktur semula fungsinya untuk memastikan badan itu tidak dibubarkan.

Arahan itu dinyatakan oleh perdana menteri semasa perjumpaan dengan barisan tertinggi MPN pada 18 Julai lalu.

Antara arahan yang diberikan adalah memastikan MPN menjadi sebuah organisasi bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik.

Sebaliknya, ia perlu memainkan peranan dan tanggungjawabnya sebagai pembina bangsa dan menyumbang idea dan strategi serta menggembeling kepakaran akademik ke arah pembangunan dan kemajuan negara.

“Dalam pertemuan 30 minit itu, perdana menteri ada menyuarakan rasa tidak puas hati dengan MPN yang didakwanya telah tersasar kerana menyokong parti politik.

“Meskipun begitu, pada masa masa, Dr Mahathir mengakui beliau juga sayang dengan MPN, lantaran itu mahu strukturnya diperbaiki semula,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.

Cadangan mengenai penstrukturan semula MPN itu sedang diperincikan oleh badan itu sebelum dikemukakan semula kepada Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini.

Perubahan itu turut mengambil kira penjenamaan semula MPN dengan nama baru.

“Semua perkara-perkara itu sedang diperhalusi MPN ketika ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette