Setiausaha Organisasi DAPSY Subang, Numan Afifi membuat keputusan menolak tawaran sebagai Pegawai Akhbar, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Setiausaha Organisasi DAPSY Subang, Numan Afifi membuat keputusan menolak tawaran sebagai Pegawai Akhbar, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Organisasi DAPSY Subang, Numan Afifi membuat keputusan menolak tawaran sebagai Pegawai Akhbar, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas mendakwa, terdapat banyak kecaman dan ancaman yang hebat oleh agen propanda pembangkang menyebabkan mustahil untuk beliau menjalankan tanggungjawab sekiranya menggalas jawatan itu.

Katanya, terdapat juga unsur-unsur sabotaj terhadap pelantikannya itu dan siasatan telah dibuat mengenainya.

“Saya telah mengambil keputusan untuk hanya menolong sahabat saya, saudara Syed Saddiq sebagai Pegawai Akhbar sementara dan akan menyerahkan tugas untuk menguruskan akhbar dan media kepada Setiausaha Akhbar baharu yang akan dilantik secara rasmi dalam masa terdekat.

“Menjawab mengenai isu beberapa nama-nama yang tertera di laman web rasmi Kementerian, saya dimaklumkan terdapat unsur-unsur sabotaj dan siasatan dalam sedang dijalankan. Saya difahamkan oleh YB Menteri tindakan tegas akan diambil ke atas pesalah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Numan berkata, pendiriannya itu telah dimaklumkan kepada Syed Saddiq dan beliau menghormati keputusan tersebut serta menyatakan dengan tegas untuk menolak sebarang bentuk diskriminasi.

Tegasnya, beliau turut memohon agar isu itu tidak diperpanjangkan lagi hingga menjadi satu bentuk polemik.

Numan berkata, beliau akan ke luar negara dalam masa terdekat untuk menentukan hala tujunya selepas ini.

“Saya rasa terharu dan sangat menghargai sokongan bertalu-talu oleh masyarakat, sahabat handai dan keluarga.

“Mudah-mudahan kita dapat hidup bermasyarakat di Malaysia yang meraikan kepelbagaian tanpa prejudis,” ujarnya. – MalaysiaGazette