LRT
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Projek LRT3 hanya boleh diteruskan jika Prasarana dapat mengurangkan kosnya lebih daripada RM6 bilion.

Lantaran itu, Kementerian Kewangan telah mengarahkan Prasarana untuk menyemak semula segala kos projek untuk memastikan supaya projek LRT3 berdaya maju.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya tidak akan menyokong sebarang pembiayaan tambahan jika tiada pengurangan kos LRT3 yang drastik.

Biarpun begitu, pengurangan kos tersebut tidak menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

Sebelum ini, Prasarana telah memperolehi jaminan kerajaan bagi pinjaman sejumlah RM10 bilion untuk membiayai projek ini.

Walau bagaimanapun, pada 30 Mac lalu, Prasarana telah meminta jaminan kerajaan tambahan sebanyak RM22 bilion lagi untuk membiayai pinjaman bagi menyiapkan projek LRT3 ini.

Guan Eng berkata, kos keseluruhan projek itu mencecah RM31.45 bilion akibat kelemahan pengurusan projek oleh Prasarana.

Projek LRT3 adalah projek utama bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dalam satu koridor pembangunan ekonomi dan kepadatan penduduk.

Jajaran LRT3 kritikal kerana menawarkan perkhidmatan LRT kepada kepadatan penduduk seramai 2 juta orang di sepanjang koridor dengan kapasiti seramai 36,700 penumpang sejam setiap hala. – MalaysiaGazette