GEORGE TOWN, 11 Julai -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima Syerleena Abdul Rashid menunjukkan nota ugutan bunuh dan salinan muat naik media sosial yang cuba menggambarkan beliau musuh Islam semasa mengadakan sidang akhbar di pusat khidmat beliau di Jalan Delima hari ini. Nota tersebut ditemui di dalam peti surat pusat khidmat beliau semalam. Malah beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Jelutong kira-kira 7 petang semalam. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima Syerleena Abdul Rashid menerima ugutan bunuh di pusat khidmatnya di Gelugor, di sini petang semalam.

Syerleena, 38, berkata nota ugutan itu dijumpainya bersama timbunan surat di peti surat pusat khidmatnya itu pada 3.30 petang sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jelutong pada 7 malam hari sama.

Beliau tidak mengetahui motif nota itu dihantar dan tidak menolak kemungkinan ia berkait dengan fitnah terhadapnya yang tular dalam Facebook sejak Mac tahun lepas, kononnya beliau akan menyerang institusi Islam terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) demi DAP.

Walau telah menyangkal fitnah itu, ia mula timbul semula pada April lepas sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata ini adalah pertama kali beliau menerima ugutan sedemikian dan berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya.-BERNAMA