Datuk Nadzim Johan
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bercakap pada Majlis Iftar Presma dan PPIM di Masjid Ar Rahah, Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 29 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap individu yang cuba mencetuskan provokasi kaum dan agama di negara ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sejak akhir-akhir ini sudah ada kenyataan yang seolah-olah mencabar kesabaran orang Melayu dan umat Islam di negara ini semakin menjadi-jadi.

“Setakat ini, tiada tindakan lagi diambil keatas perbuatan yang jelas salah di sisi agama Islam iaitu LGBT, kini timbul pula kenyataan yang mencabar kedudukan Institusi raja di negara ini dan menghasut kebencian terhadap agama Islam dengan memfitnah institusi pendidikan tahfiz sebagai mengamalkan agama jumud,” katanya hari ini.

Nadzim berkata, tindakan harus diambil bagi menghentikan penghinaan tersebut kerana ia boleh mencetuskan kemarahan dan tindak balas di luar jangkaan oleh umat Islam di negara ini.

“Hari ini kita lihat seolah-olah semua orang mahu menjadi wira ‘Malaysia Baru’ dan pelbagai kenyataan yang berbaur dendam, hasutan serta kebencian mula tular.

“Kita tidak mahu perkara ini berlanjutan sehingga diluar kawalan, tindakan harus diambil, tidak kira apa agama dan bangsa mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan apa tujuan peguam dan aktivis Pakatan Harapan (PH), Fadiah Nadwa Fikri yang berkata, sistem Raja Berpelembagaan tidak lagi relevan didalam institusi demokrasi negara berikutan kewujudan monarki dianggap ketinggalan zaman.

“Apakah dia tidak tahu Rukun Negara yang kedua, iaitu kesetiaan kepada raja dan negara. Itu merupakan asas pembentukan negara kita Malaysia, adakah Fadiah Nadwa ini sedar kesan atas kenyataannya itu?

“Mungkin apa yang rakyat Malaysia perlukan ialah institusi diraja yang lebih terbuka dan mesra dengan rakyat, rakyat memerlukan raja yang menjadi payung rakyat dan mengasihi rakyat, namun cadangan menghapuskan institusi diraja adalah tidak masuk akal,” katanya.

Justeru, Nadzim menasihati rakyat Malaysia supaya fokus kepada membawa Malaysia ke arah yang maju tanpa melupakan asal usul terbentuknya negara ini.

“Bukan tidak boleh ada perubahan tetapi perlukah sehingga menidakkan asas pembentukan negara kita yang tercinta ini, adakah sehingga perlu menggadaikan agama sendiri?” soal Nadzim lagi.

Nadzim menegaskan walaupun politik di negara ini telah berubah namun sikap sesetengah pengamal politik dan rakyat masih tidak berubah.

“Apa gunanya kita minta perubahan tetapi kita masih menyuntik rasa kebencian terhadap satu sama lain, yang salah biarlah mahkamah yang menghukum, tidak perlu kita menyemai kebencian dan memecahbelahkan rakyat Malaysia,” katanya lagi. -MalaysiaGazette