LRT
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kabinet membenarkan projek LRT3 diteruskan selepas kos projek itu dikurangkan sebanyak 47 peratus kepada RM16.63 bilion.

Pengurangan itu menyaksikan penjimatan sebanyak RM15.02 bilion berbanding kos awal RM31.65 bilion.

Bagaimanapun, kos keseluruhan ini termasuk tetapi tidak terhad kepada kos Pakej Kontrak Kerja (WPC), kos pengambilan tanah, kos pengurusan projek, fi perundingan, kos operasi, kos overhead, faedah pinjaman semasa pembinaan (IDC) dan kos-kos lain yang berkaitan.

Pengurangan kos itu, bagaimanapun melibatkan beberapa perubahan besar yang perlu dilakukan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Antara langkah utama yang diambil untuk mengurangkan dan merasionalisasi kos projek ini termasuk mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api 6-koc kepada 22 set kereta api 3-koc.

Katanya, kajian perlaksanaan projek LRT3, 22 set kereta api 3-koc ini sudah memadai untuk menampung jumlah penumpang yang dijangkakan menggunakan perkhidmatan ini sehingga tahun 2035, sebelum sebarang penambahan jumlah set keretapi 3-koc dilaksanakan.

Mengurangkan saiz pembinaan pangkalan kereta api LRT berikutan bilangan
kereta api LRT yang dikurangkan.

Selain itu, mengubahsuai saiz dan reka bentuk stesen-stesen LRT mengikut piaiwaian
jajaran LRT Kelana Jaya dan bukannya mengikut saiz stesen MRT yang lebih besar.

Menangguhkan pembinaan lima stesen yang dijangkakan mempunyai jumlah
penumpang yang rendah, sehingga terdapat keperluan untuk membina stesen-stesen
tersebut.

Pembinaan stesen-stesen yang akan dibatalkan adalah Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic.

Membatalkan pembinaan terowong sepanjang 2 kilometer untuk laluan LRT dan stesen
LRT bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam.

Melanjutkan tempoh masa menyiapkan projek LRT3 dari tahun 2020 ke 2024
bagi mengurangkan lagi kos pembinaan yang asalnya dinaikkan untuk mempercepatkan tempoh siap projek tersebut.

Namun, satu aspek kritikal dalam pengkajian semula projek ini adalah integrasi
jajaran LRT3 sepanjang 37 kilometer; dari Johan Setia (Klang) ke Bandar Utama (Petaling Jaya) dikekalkan.

Di samping itu, pembinaan projek LRT3 akan distruktur semula daripada model PDP kepada model “kontrak harga tetap” dengan MRCB-GK JV. Ini akan memastikan harga akan terikat kepada harga yang ditetapkan,” katanya di sini.

Guan Eng berkata, proses rundingan semula yang menyeluruh dan pelan rasionalisasi pelaksanaan projek LRT3 telah diadakan dengan semua pihak yang terlibat termasuk Prasarana, MRCB-George Kent (MRCB-GK JV), iaitu Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Meskipun kos dapat dikurangkan, isu keselamatan, kekerapan jadual perjalanan dan kualiti perkhidmatan mestilah memenuhi segala syarat keperluan pengawal selia.

“Penjimatan bernilai RM15 bilion bukan sahaja penting dalam konteks pengurangan hutang negara, malah ia juga bakal memberi penjimatan tambahan bernilai RM14 bilion khususnya dalam kos faedah sepanjang tempoh pembiayaan pinjaman kewangan,” tambah beliau.

Pada 30 Mac 2018, Prasarana Malaysia Bhd telah mengemukakan kos projek LRT3 yang berjumlah RM31.65 bilion.

Pada masa yang sama, selain daripada pembiayaan dalam bentuk jaminan kerajaan yang bernilai RM10 bilion yang telah diluluskan pada tahun 2015, Prasarana turut memohon pembiayaan kewangan tambahan sebanyak RM22 bilion, juga dalam bentuk jaminan kerajaan. – MalaysiaGazette