Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin menemplak UMNO kerana masih ‘pekak’ terhadap suara rakyat meskipun sudah terkena ‘pukulan maut’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu mempersoalkan apa yang telah dilakukan oleh UMNO selepas pemilihan selesai baru-baru ini.

“Main sentimen kaum, kutip tabung untuk mantan Presiden dan repeat (ulang) semula.

“Tak salah kita bersolidariti dengan DSN tetapi takkan itu sahaja UMNO baharu,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.

Beliau turut menegur UMNO kerana memomokkan orang Melayu dengan isu remeh seperti pelantikan bukan Melayu sebagai Peguam Negara, Ketua Hakim dan lain-lain.

Walaupun isu-isu berkenaan menimbulkan keresahan orang Melayu tetapi ia adalah perkara kecil berbanding isu ekonomi, sosial dan lain-lain.

Secara terbuka, Khairy tidak setuju dengan manifestasi rasis yang wujud selepas pemilihan parti.

“UMNO sekarang berada di persimpangan jalan untuk memilih samada mengambil haluan kanan atau tengah. Ke kanan mungkin menang sorak sementara. Tetapi pasti lingkup 10-15 tahun lagi. Haluan tengah bukan mudah. Sukar difahami akar umbi. Tetapi itulah jalan yang ada untuk survive,” katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, beliau masih percaya UMNO adalah ‘khemah besar’ untuk orang Melayu, yang mana DNA asalnya adalah moderat, haluan tengah dan raikan kepelbagaian.

Lantaran itu, beliau masih bersama UMNO, ujarnya lagi.

Jelas Khairy, beliau tidak terima tawaran jawatan selepas kalah dalam pemilihan UMNO sebab perlu kebebasan untuk bersuara dalam parti.

Menurut beliau, perlu ada kepelbagaian suara dalam UMNO, walaupun ada yang melabelkannya sebagai liberal.

“Ada yang label saya ‘liberal’ dan lain-lain. Tak penting. Yang penting ada dissenting voice (perbezaan suara) vs haluan kanan parti,” tambah

Menurut Khairy, beliau akan tetap bersama UMNO cuma mahu memperbetulkan parti tersebut agar tidak berhaluan kanan yang ekstrem dan rasis selama-lamanya.

“You may say I’m a dreamer, but I’m not the only one (Anda boleh kata seorang yang suka berangan, tetapi bukan saya seorang),” katanya. – MalaysiaGazette