CALIFORNIA – Facebook Inc dinobatkan sebagai tempat kerja terbaik di Amerika Syarikat pada tahun ini, menurut Indeed.

Indeed merupakan laman sesawang yang menyenaraikan 50 tempat kerja utama berdasarkan 70 juta rating majikan dan ulasan 500 syarikat Fortune.

Platform media sosial itu berada dalam senarai keempat terbaik pada tahun lalu.

“Jelas sekali, para pegawai Facebook selama dua tahun lalu percaya terdapat ketelusan dari peringkat atas hingga ke bawah,” kata Paul Wolfe, Naib Presiden Kanan Indeed.

Selain Facebook, syarikat-syarikat teknologi dan penerbangan mendominasi sebagai tempat kerja yang diberi penarafan tertinggi.

Southwest Airlines Co. dan Salesforce.com Inc., masing-masing berada pada kedudukan kedua dan ketiga.

Manakala Delta Air Lines Inc., JetBlue Airways Corp. dan Apple Inc. berada dalam senarai 10 syarikat terbaik.

“Syarikat yang mempunyai budaya progresif, memberi tumpuan kepada pengalaman pekerja dan memastikan penglibatan sama pekerja menjadikan mereka 10 teratas,” kata Wolfe. – MalaysiaGazette