Pannerselvam a/l Letchumanan
Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Pannerselvam a/l Letchumanan bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berkaitan isu DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bukan ahli bertanding atas tiket PKR dan menggunakan logo PKR di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 13 JULAI 2018.

PETALING JAYA – Parti Alternatif Rakyat (PAP) mempersoalkan kemenangan luar biasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang ditandingi oleh bukan ahli parti itu.

Presidennya, Pannerselvam G Letchumanan mendakwa, Perlembagaan PKR tidak menyebut bukan ahli PKR dibenar bertanding di atas kerusi parti itu.

“Kami mendapati PRU14 yang ditandingi dan dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) menimbulkan keraguan.

“Watikah bertanding ditandatangani oleh PKR untuk calon DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) walhal mereka ini bukan ahli PKR yang sah,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu Pannerselvam membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya mempersoalkan tindakan PKR yang membenarkan bukan ahli bertanding atas tiket parti itu.

MGF13072018_PAP_01
Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Pannerselvam a/l Letchumanan menunjukkan salinan laporan polis berkaitan isu DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bukan ahli bertanding atas tiket PKR dan menggunakan logo PKR di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 13 JULAI 2018.

Pada PRU14 pada 9 Mei lalu, calon DAP dan PPBM bertanding atas tiket PKR susulan pendaftaran PH tidak diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Pendaftaran PH bermasalah ekoran DAP gagal menjalankan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) kerana timbul keraguan manakala PPBM pula gagal mengemukakan laporan mesyuarat agung tahunan di semua peringkat.

Pannerselvam juga menggesa pihak polis menyiasat PKR yang membenarkan DAP dan PPBM bertanding di atas tiket PKR.

“Kami memohon pihak polis menyiasat bagaimana gabungan ini boleh disahkan menjadi PH dan boleh menggunakan logo PKR semasa PRU14 lalu.

“Gabungan ini bercanggah di antara perlembagaan serta konsep pelantikan jawatan daripada keputusan PRU14,” katanya.

Sehubungan itu, PAP menggesa keputusan PRU14 yang dimenangi PKR digantung sehingga keputusan salah guna tiket parti disiasat.

“Keraguan saya semakin meningkat selepas mendapati laman sesawang PKR telah menyekat dan umum tidak boleh melihat bahagian Perlembagaan parti.

“Kesangsian bertambah, adakah surat rasmi telah diterima RoS serta memohon guna pakai logo PKR oleh DAP dan PPBM dan adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meluluskan permohonan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast