Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia bagi persiapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 dan persediaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa disebut-sebut bakal dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau dilihat sesuai memandangkan pengalaman selain bekas Ketua Penerangan UMNO.

Walaupun tewas kepada kepada Datuk Seri Mohamad Hasan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu bulan lalu namun pucuk pimpinan merasakan ketokohan Ahli Parlimen Ketereh itu masih diperlukan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat, menurut Watan Online baru-baru ini.

Annuar adalah individu ataupun pemimpin UMNO yang pernah bekerja di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dipercayai memahami ‘politik’ bekas Presiden UMNO itu yang kini bersama Pakatan Harapan (PH).

Malah beliau juga antara yang lantang menjawab serangan pembangkang ketika itu terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Zahid pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini mengumumkan yang ia merupakan mesyuarat terakhir bagi Tengku Adnan dan Datuk Seri Mohd Rauf Yusof selaku Setiausaha Kerja UMNO.

Dalam pada itu, Datuk Mohd Sumali Reduan pula bakal menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Rauf bagi jawatan Setiausaha Kerja UMNO.- MalaysiaGazette