SUNGAI PETANI – Kewujudan sebuah makam tua dengan sepasang nisan purba di Kampung Bukit Berangan, Kuala Muda di sini mungkin milik Sultan Mudzafar Shah I atau lebih dikenali sebagai Merong Mahawangsa yang terkenal melalui Hikayat Merong Mahawangsa.

Ketua Penyelidik Projek Kajian Kesan Peninggalan Sejarah Kota Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas Universiti Utara Malaysia, Syamsul Anuar Ismail berkata, kewujudan pasangan batu nisan itu dapat dibezakan dengan jelas di bahagian kepala dan kakinya dan diperbuat daripada batu kawi.

“Makam tersebut pada asalnya berada di dalam lot tanah persendirian milik penduduk yang dikenali sebagai Muhamad Nor di kampung tersebut sebelum dipindahkan ke Masjid Sintok Bugis pada September 2017 lalu.”

“Kajian awal dan bukti geologi juga menunjukkan ia sesuai dengan zaman wujudnya masyarakat di Bukit Meriam dan Sungai Mas iaitu sekitar abad ke-5 Masihi,” katanya kepada Bernama selepas melawat tapak peninggalan sejarah Kota Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas di sini, hari ini.

Menurut cerita melalui hikayat terkenal itu, pusat pemerintahan di Kedah bermula di Kota Langkasuka sebelum berpindah ke Serokam, Kota Sungai Emas, Kota Aur dan akhirnya dipercayai di Bukit Meriam.

Sultan Mudzafar Shah I dikatakan mangkat pada 1179 dan disemadikan di Makam Kota Bukit Meriam.- BERNAMA