Musa Sheikh Fadzir

PULAU PINANG – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang baharu dilantik, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyifatkan lantikannya ke jawatan itu sebagai tanggungjawab berat dan sukar.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam itu berkata, perkara tersebut disebabkan UMNO kini bukan lagi dalam parti kerajaan dan negeri ini sendiri sudah tiga penggal berada di bawah penguasaan DAP.

Sehubungan itu, beliau berharap mendapat sokongan penuh daripada ahli akar umbi, pemimpin peringkat sayap serta kesemua ketua bahagian parti berkenaan yang baru selesai menjalani pemilihan baru-baru ini.

“Sudah semestinya saya akan berusaha untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan ini dengan baik dan berharap semua ahli UMNO di negeri ini memberi peluang dan sokongan kepada saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pengumuman lantikan yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam, Musa dinamakan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang sekali gus menggantikan Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Zainal Abidin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal sebelum ini membuat keputusan melepaskan jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam pengumuman semalam juga, Ketua Bahagian UMNO Nibong Tebal, Datuk Dr. Shaikh Hussein Mydin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang sekali gus menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.

Seorang lagi muka baharu dalam senarai kepemimpinan UMNO Pulau Pinang adalah Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussein Shah yang dilantik sebagai Setiausaha yang menggantikan Musa.

Dalam pada itu, Musa berkata, UMNO negeri ini akan kekal menjadi pembangkang bijak dan adil yang akan sentiasa mempertahankan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat.

Tambahnya, UMNO negeri ini tidak akan mengikut tindak-tanduk parti lawan khususnya DAP yang mengambil sikap menentang segala dasar meskipun yang jelas membawa kebaikan kepada rakyat.

“Kita juga mahu menjadi pembangkang yang lebih kuat serta mampu menegur kerajaan negeri dalam isu yang dilihat tidak menyebelahi rakyat.

“Kita boleh menerima, malah sedia memberi kerjasama kepada kerajaan negeri berkaitan isu yang melibatkan kepentingan rakyat tetapi dalam masa sama juga tidak akan teragak-agak menegur kepincangan kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette