Jorge Sampaoli.
Jorge Sampaoli.

BEUNOS AIRES – Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli akhirnya melepaskan jawatannya selepas prestasi mengecewakan skuad kendaliannya pada Piala Dunia 2018.

Perjuangan Argentina tersekat pada peringkat 16 pasukan terakhir apabila terpaksa pulang awal selepas tersingkir di tangan Perancis.

Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dalam satu kenyataan mengesakah peletakan jawatan Sampaoli.

“AFA dan bekas jurulatih pasukan kebangsaan, Jorge Sampaoli mencapai kata sepakat untuk membatalkan kontraknya,” jelas kenyataan itu.

AFA mengucapkan terima kasih kepada pengendali berusia 58 tahun itu dan pembantunya yang turut meletak jawatan.

Argentina adalah juara Piala Dunia pada 1978 dan 1986.

Sampaoli mengendali Argentina setahun yang lalu dengan membantu skuad itu mara ke Piala Dunia 2018.

Argentina melayakkan diri ke kejohanan empat tahun sekali itu menerusi jaringan kemenangan Lionel Messi pada perlawanan terakhir mereka.

Namun, pasukan itu bergelut dengan prestasi tidak menentu dalam aksi peringkat kumpulan yang mana mereka diletakkan bersama dengan Iceland, Croatia dan Nigeria sebelum tewas di tangan Perancis.

Keputusan AFA untuk ‘berpisah’ dengan Sampaoli sudah dijangka walaupun dia masih mempunyai kontrak sehingga 2022.

Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, Diego Simeone (Atletico Madrid) dan Marcelo Gallardo (River Plate) antara yang dikhabarkan sebagai pengganti Sampaoli. – MalaysiaGazette