Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hari pertama persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Hari pertama persidangan Dewan Rakyat Parlimen Ke-14 sempena majlis mengangkat sumpah ahli-ahli Parlimen dan Speaker Dewan Rakyat hari ini kecoh.

Ia berikutan soal pelantikan dan angkat sumpah Datuk Mohamad Ariff Mohamad Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddi Hassan (Pas) bangkit meluahkan bantahan mengenai soal pelantikan Mohamad Arif sebelum diikuti wakil rakyat Pas dan UMNO yang lain.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar (BN) antara wakil rakyat yang turut bersorak dan mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) penipu.

Mereka kemudian keluar dewan beramai-ramai sebagai tanda protes terhadap pelantikan Speaker Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang kedua-duanya dari BN tidak meninggalkan dewan seperti rakan-rakannya yang lain.

Mohamad Ariff yang juga Bekas Hakim Mahkamah Rayuan merupakan ahli Parti Amanah Negara dan mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat hari ini.

Dalam ucapannya, beliau mahu Dewan Rakyat menjadi lambang kebanggaan negara di persada dunia.

“Saya berjanji menjalankan tugas saya dengan adil dan saksama seperti yang dijanjikan. Kepada ahli-ahli berhormat sekalian baik kerajan dan pembangkang terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya menjawat jawatan ini (Speaker Dewan Rakyat),” katanya.

Majlis disusuli angkat sumpah ahliu parlimen kawasan masing-masing di rostrum khas yang disediakan sebelum menandatangani buku mengangkat sumpah.- Malaysiagazette