Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tindakan wakil rakyat Barisan Nasional keluar dewan ketika majlis angkat sumpah berlangsung tidak kena pada tempatnya.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tindakan wakil rakyat Barisan Nasional keluar dewan ketika majlis angkat sumpah berlangsung tidak kena pada tempatnya.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pendiriannya enggan ‘berkelakuan’ seperti wakil rakyat pembangkang lain yang keluar dewan hari ini adalah kerana menghormati sesi angkat sumpah wakil rakyat.

Ketika diasak pemberita selepas menimbulkan kontroversi tidak keluar dewan sehingga menjadi viral pagi tadi, Khairy berkata, tindakan itu keluar dewan seolah-olah tidak menghormati hari yang sepatutnya penting bagi setiap Ahli Parlimen yang telah diberi mandat oleh rakyat.

Khairy atau lebih mesra dengan panggilan KJ bagaimanapun berkata, pandangan serta tindakan itu hanya bersifat peribadi untuk dirinya.

“Ini adalah pandangan peribadi oleh saya. Tindakan boikot atau keluar dewan ketika sesi angkat sumpah pada saya tidak kena tempat. Anda boleh lakukan bantahan itu selepas majlis perasmian esok atau melalui ‘standing order’ pada hari Rabu.

“Kita boleh bantah ketika berbahas tentang bagaimana isu pelantikan Speaker Dewan Rakyat, pertikaian itu bukan pada hari ini. Oleh yang demikian, saya membuat keputusan untuk menghormati majlis dan dewan pada hari ini.

“Tetapi ini adalah pandangan saya dan saya bercakap bagi pihak saya, saya buat apa yang saya rasa betul mengikut pandangan saya, itu sahaja,” katanya di lobi Parlimen sejurus selepas Majlis Angkat Sumpah sebentar tadi.

Jelas KJ, tindakannya yang  menimbulkan persepsi serta spekulasi pelbagai pihak itu turut diambil bagi memastikan imej Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang berwibawa tidak dipandang remeh.

“Hari ini bukan harinya. Pada saya lebih baik hormat majlis pada hari ini. Tidak perlu lakukan tindakan mencemarkan kewibawaan BN sebagai pembangkang,” tegasnya.

MGF16072018_PEMBUKAAN PARLIMEN_24
Suasana di dalam Dewan Rakyat selepas ahli-ahli parlimen pembangkang keluar dewan ketika sesi angkat sumpah wakil rakyat yang dipilih pada PRU14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2018

Selain KJ, beberapa individu daripada blok pembangkang yang mengambil pendirian untuk kekal di dalam dewan dan mengikuti majlis angkat termasuk Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman dan calon bebas Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang sebelum ini merupakan Ketua Puteri UMNO.

Ketika ditanya adakah berkemungkinan besar tindakan beliau tidak mengikut sama ‘memboikot’ isu pelantikan itu akan menerima reaksi negatif parti, KJ hanya menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

Jelasnya keputusan untuk kekal berada dalam majlis dan tidak meninggalkan dewan adalah pendirian betul selaras imej pembangkang berwibawa yang ingin ditonjolkan BN pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya hanya buat keputusan pada pandangan yang difikirkan betul, iaitu untuk menghormati majlis mengangkat sumpah. Saya tidak pasti jika ada tindakan tetapi terpulang kepada mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette

BACA: Pembangkang keluar dewan, KJ teruskan angkat sumpah