Syed Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen Yang Keempat Belas 2018 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) melakukan pengauditan forensik bagi memerangi rasuah dan memelihara integriti kementerian itu.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada minggu lalu.

“Saya mahu SPRM dan GIACC adakan pengauditan forensik dalam KBS supaya perlakuan rasuah dalam kementerian saya tidak berlaku selepas ini sebagai langkah menjamin tadbir urus KBS terbaik antara kementerian lain.

“Contohnya meletakkan pegawai SPRM di mana boleh terus rujuk sebarang aduan dan salah laku terus kepada suruhanjaya itu dan begitu juga mahu Ketua Audit Negara dan pasukan tersendiri boleh lapor terus kepada pihaknya tanpa campur tangan politik, kementerian atau mana-mana pihak,” katanya di Lobi Parlimen hari ini.

Tambahnya, beliau sedia menerima sebarang cadangan yang mungkin boleh menjejaskan karier politiknya.

“KBS perlu mendahului kementerian lain memerangi rasuah, salah guna kuasa, campur tangan politik yang sedia ada.

“Justeru, saya dan timbalan, Stesev Sim dalam mesyuarat bersama ketua ketua jabatan di KBS menegaskan semua projek pembangunan perlu melalui tender terbuka.

“Saya nak cari sehingga ke lubang cacing bukan hanya rasuah tetapi juga projek melibatkan peruntukan terlampau banyak. – MalaysiaGazette