SPRM
SPRM

KUALA LUMPUR – Pelepasan pembekuan akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disebabkan ia tidak ada sebarang kaitan dengan siasatan  kes 1Malaysia Development Berhad melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International Sdn. Bhd.

Tindakan melepaskan pembekuan akaun Ahli Parlimen Pekan itu bukan dilakukan atas desakan mana-mana pihak tetapi disebabkan siasatan terhadap akaun itu telah selesai dilaksanakan.

Dalam satu kenyataan rasmi SPRM hari ini juga menyatakan ada akaun akaun bank lain Najib yang juga terlibat dengan SRC International Sdn. Bhd dan 1MDB tidak dibekukan kerana akaun akauan tersebut memang telah ditutup sebelum siasatan bermula.

“Ini bermakna pembekuan akaun bank Najib berkaitan isu SRC International dan dana RM2.6 bilion ketika itu tidak dapat dilakukan kerana akaun berkenaan telah ditutup lebih awal sebelum siasatan dimulakan,” kata dalam kenyataan yang sama.

SPRM tampil dengan kenyataan itu setelah mengenalpasti terdapat beberapa kekeliruan fakta yang dilaporkan oleh segelintir pihak menerusi media susulan pembekuan dan pelepasan akaun bank Najib bagi siasatan kes yang sama.

SPRM juga menafikan pihaknya mengadakan publisiti besar-besaran mengenai pembekuan akaun Najib dan menyepi apabila pembekuan akaun ditarik balik.

“SPRM ingin menegaskan bahawa isu tersebut tidak timbul kerana suruhanjaya ini tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkaitan pembekuan akaun.

“Malah SPRM juga hanya mengesahkan pelepasan akaun tersebut apabila persoalan itu ditumbulkan oleh media.

“SPRM ingin menegaskan bahawa sehingga kini siasatan berhubung dana RM2.6 bil masih diteruskan,” kata kenyataan itu lagi.- MalaysiaGazette