Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Cadangan caruman tambahan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya diperuntukan bagi isteri pertama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat., Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, jika suami sudah mampu berkahwin lebih daripada seorang, sudah tentu mereka mampu memberi nafkah kepada semua isterinya.

“Kalau hendak bagi kepada isteri kedua, ketiga dan keempat itu adalah tanggungjawab suami. Kita beri insentif itu untuk simpanan masa depan bagi kegunaan masa depan isteri dan wanita kalau ada apa-apa parkara tidak diingini berlaku.

“Kalau suami mampu kahwin satu, dua, tiga mesti mampu bagi nafkah kepada semua,” jawab Wan Azizah (Pandan-PKR).

Beliau menjawab soalan oleh Datuk Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) bertanya sama ada kerajaan mempunyai peruntukkan tambahan bagi skim kepada suami yang berkahwin lebih daripada satu.

Ahli Parlimen Pandan itu turut berkata, kerajaan sedang berbincang untuk melaksanakan caruman KWSP kepada isteri sebanyak RM50 setiap bulan untuk kegunaan masa depan.

“Suri rumah adalah golongan yang terdedah kepada kesusahan apabila terdapat perubahan mengejut dalam situasi rumah tangga seperti kematian suami, penceraian, sekiranya terdapat ahli keluarga tidak bertanggungjawab dan menimbulkan konflik.

“Dalam usaha memastikan keselamatan sosial wanita terjamin kerajaan PH komited menyediakan beberapa insentif memperkenalkan skim caruman untuk suri rumah,” katanya lagi.

Pada Mei lalu, Wan Azizah berkata, kadar caruman KWSP untuk suri rumah yang dicadangkan melibatkan dua peratus daripada gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan. – MalaysiaGazette