Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh tmempertahankan pendirian beliau untuk bukan sahaja enggan menarik balik kembali perkataan samseng kepada Pergerakan Pemuda UMNO walaupun diminta menarik balik oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Sebaliknya beliau berpegang dengan keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang hanya memberi amaran kepadanya susulan penggunaan perkataan tersebut pada awal perbahasan pagi tadi.

Jelas Ramkarpal, keputusan tersebut pada anggapan beliau sebenarnya sudah muktamad namun ada sesetengah wakil rakyat sengaja menggunakan peluang tersebut untuk terus mempertikaiannya.

“Saya terus berada dalam Dewan kerana Timbalan Speaker sudah muktamad dengan memberi amaran kepada saya. Pada saya itu sudah muktamad dan boleh digunapakai. Seandainya mahu mempertikaikan perlu melakukan usul baru.

“Saya juga tidak menarik balik apa yang saya cakap kerana itu adalah soal prinsip dan pendirian. Bagaimanapun, saya akur dan terus berada dalam Dewan kerana sudah diberi amaran.

“Dengan memberikan keputusan baru, itu salah. Speaker tidak boleh memandai buat keputusan yang baru tanpa usul seperti yang termaktub dalam standing order,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen selepas diarahkan keluar Dewan kerana enggan menarik balik perkataan ‘Pemuda UMNO Samseng’ sebentar tadi.

Terdahulu, Ramkarpal juga menafikan timbalan speaker tidak tegas sebaliknya beliau telah menjalankan tugasnya dengan baik.

“Kita faham situasinya kerana ini pertama kali beliau kendalikan Dewan Rakyat. Sudah tentu ia sangat mencabar tetapi kita perlu beri masa kepada beliau untuk dapat pengalaman yang secukupnya.

“Timbalan speaker bukan lemah tetapi beliau hanya bertindak untuk memberi ruang kepada pembangkang yang kemudiannya mengambil kesempatan dan membuat kecoh, dari 10 minit hingga berjam-jam,” tegasnya.

Dalam pada itu, menurut Ramkarpal, arahan keluar dewan itu hanya berkuatkuasa selama 24 jam dan beliau akan kembali keesokan harinya.

“Speaker tidak memberikan waktu atau tempoh, oleh itu saya yakin esok akan dapat kembali seperti biasa,” katanya. – Malaysia Gazette