Berikutan keadaan Dewan Rakyat yang kosong, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya mesyuarat Kabinet diadakan pada Jumaat di mana pada hari tersebut Parlimen tidak bersidang.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kabinet yang kebiasannya diadakan pada hari Rabu kini ditukar ke Jumaat bagi memberikan laluan kepada Sidang Dewan Rakyat berkuatkuasa serta merta.

Ini berikutan aduan wakil rakyat rata-ratanya pembangkang yang tidak berpuas hati apabila Dewan Rakyat hampir kosong berikutan mesyuarat Kabinet semalam.

Perkara itu yang disahkan oleh Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, seandainya Parlimen tidak bersidang, maka mesyuarat Kabinet akan diadakan semula pada Rabu.

“Bermula minggu hadapan dan minggu-minggu seterusnya, seandainya ada persidangan Dewan Rakyat pada hari Rabu, maka masa mesyuarat Kabinet akan diubah kepada hari Jumaat.

“Keputusan ini dibuat bagi memberi penghormatan serta keutamaan kepada Parlimen. Saya tidak mahu ada yang lalai dengan tanggungjawab,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Tambah Kor Ming, beliau amat memahami tugas serta tanggungjawab besar yang terpaksa dipikul oleh menteri dan timbalan yang mempunyai bebanan kerja namun keutamaan perlu diberikan kepada sesi Dewan Rakyat.

“Sekiranya seseorang menteri tidak dapat hadiri Dewan Rakyat, beliau perlu menghantar timbalannya untuk ke sidang tersebut.

“Parlimen merupakan satu instuitusi yang cukup penting dan setiap dasar serta jawapan rasmi perlu di jawab dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya.

Semalam, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya kerajaan mengadakan Mesyuarat Kabinet pada hari Jumaat untuk memastikan barisan menteri dan timbalan Menteri dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keadaan Dewan yang kosong ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membahaskan usul Titah Diraja ketika sesi petang Dewan Rakyat.

Pagi tadi, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya akan mempertimbangkan cadangan untuk mengubah mesyuarat Kabinet kepada hari Jumaat. – Malaysia Gazette

Dewan Rakyat kosong: Khairy cadang mesyuarat Kabinet Jumaat elak ganggu sidang