SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.
Nama beliau diumumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, Kota Kemuning hari ini.
Menurut Mohamad, UMNO dan BN Selangor dengan persetujuan presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi cuba untuk membawa kelainan dalam pilihan raya kecil ini dengan meletakkan calon bukan anak tempatan.
“Setelah berbincang dalam mesyuarat pengurusan UMNO dan BN serta mesyuarat Biro Politik, BN bersetuju mengambil bahagian dalam PRK Sungai Kandis dengan menggunakan lambang dacing (BN).
“Dengan persetujuan pucuk pimpinan, UMNO Selangor dan UMNO dan BN Bahagian Kota Raja, kita bersetuju memilih calon luar iaitu Lokman sebagai calon bagi pertandingan satu lawan satu dengan calon PKR dari Pakatan Harapan (PH).
“Pagi tadi, Presiden UMNO telah menandatangani watikah calon dan petang ini kita dengan rasminya mengumumkan nama calon,” katanya pada sidang media di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad; dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzaman Johari.
Menurut Mohamad, UMNO dan BN pusat, negeri serta bahagian akan memulakan kempen menerusi pendekatan baharu yang dirancang parti itu sebagai pembangkang.
“Jentera kita akan menjalankan kempen dari rumah ke rumah. Perlu diingat, kita bukan lagi kerajaan. Kita adalah pembangkang dan kaedah kempen kita juga ada pembaharuan.
“Kita harap jentera parti iaitu Wanita, Pemuda, Puteri dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dapat menggerakkan kempen dari rumah ke rumah ini dengan memberi penjelasan mengenai janji 100 hari kerajaan PH,” katanya.
Ditanya apakah Pas tidak akan meletakkan calonnya, Mohamad berkata, Ahmad Zahid telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi mengenai perkara itu dan mendapat persetujuan untuk tidak berlaku pertandingan tiga penjuru.
Mengenai bantuan Pas sepanjang kempen PRK itu, katanya, beliau tidak tahu parti itu akan membantu atau tidak.
“Kalau Pas bantu, syukur. Tetapi kita menaruh harapan agar pengundi Pas turut memberi undi kepada calon kita,” ujarnya.
Menjawab soalan mengenai penerimaan rakyat terhadap calon luar, Mohamad memberitahu, pihaknya tidak sempat membuat kaji selidik mengenai perkara itu kerana tempoh PRU-14 baharu 60 hari berlalu. – MalaysiaGazette
















