LEE HSIEN LOONG
Perdana Menteri Lee Hsien Loong

SINGAPURA – “Pencerobohan terhadap data peribadi paling serius” dalam sejarah Singapura berlaku bulan lepas, yang melibatkan data milik Perdana Menteri Lee Hsien Loong, kata Kementerian Kesihatan dan Kementerian Komunikasi dan Penerangan.

Dalam kenyataan mereka, kedua-dua kementerian itu berkata penyerang menyasarkan ‘secara khusus dan berulang kali’ butiran serta maklumat peribadi Lee berkaitan ubat-ubatan yang diberi kepada beliau sebagai pesakit luar.

Mereka dilaporkan berkata 1.5 juta rekod pesakit SingHealth diakses dan disalin, manakala rekod ubat-ubatan yang diberi kepada 160,000 pesakit luar lain juga mengalami perkara sama.

Data peribadi yang diambil daripada 1.5 juta pesakit berkenaan termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat, jantina, bangsa dan tarikh lahir mereka, kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan menjelaskan bahawa penggodam bagaimanapun tidak meminda atau memadam rekod berkenaan.-BERNAMA