Amirudin Shari
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Tragedi yang menimpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Eddie Ng Tien Chee yang maut dalam kemalangan awal pagi tadi bukan sahaja mengejutkan, malah pemergian beliau disifatkan kehilangan besar buat negeri Selangor.

Ng Tien Chee atau lebih mesra dikenali sebagai Eddie Ng maut akibat kecederaan parah selepas kenderaannya merempuh sebuah lori.

Menteri Besar, Amirudin Shari melahirkan rasa dukacita kerana mendiang merupakan antara pemimpin di Selangor yang berkhidmat dengan penuh dedikasi, komited serta seorang yang lantang dalam memperjuangkan pelbagai isu berkaitan rakyat.

“Dari awal saya mengenali beliau, Eddie Ng tidak lekang dengan senyuman dan sentiasa sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan. Mendiang yang menjawat jawatan ADUN sejak 2013 merupakan seorang wakil rakyat yang amat komited serta berdedikasi tinggi.

“Eddie Ng juga seorang yang giat aktif dalam Pakatan Harapan Selangor menerusi Unit Tindak Parti Tindakan Demokratik (DAP). Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan yang amat besar buat kita semua terutamanya di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kehilangan ini juga merupakan yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas pemergian ADUN Sg. Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lepas. Kedua-dua mereka merupakan dua pemimpin penting yang banyak menabur jasa.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga Eddie terutamanya isteri beliau, anak-anak dan keluarga. Saya amat berharap mereka tabah menghadapi ujian besar ini,” ujarnya.

Eddie meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, Cheras tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff dalam satu kenyataan berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi di Kilometer 11. 7 lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, kenderaan pacuan empat roda, Nissan Xtrail yang dipandu Tien Chee dipercayai terlanggar belakang sebuah lori milik syarikat konsesi lebuh raya itu. – Malaysia Gazette