Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan besar meletakkan calon dari parti DAP sebagai pengganti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee tengah malam tadi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau yakin, DAP terutamanya di kawasan berkenaan telah mempunyai calon sesuai untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut.

“Biasanya parti yang mengalami kehilangan wakil rakyat itu akan memulakan inisiatif untuk memulakan perbincangan kemudian membentangkan kepada Pakatan Harapan untuk dimuktamadkan.

“Cuma isu sama ada menggunakan logo DAP atau Keadilan (PKR) sebagai logo PH, saya percaya ia akan dibincang dan dimuktamadkan kemudian,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Bersekutu (ACCCIM) di hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, kekosongan bagi kerusi DUN Balakong itu perlu diisi segera bagi meredakan keresahan penduduk dan juga pengundi di kawasan berkenaan selepas kematian wakil rakyat mereka.

Bagaimanapun beliau menyifatkan, insiden yang menimpa ADUN itu sebagai satu kejutan ekoran ia berlaku dalam tempoh 60 hari daripada pembentukan Kerajaan Persekutuan dan kehilangan itu sudah pasti dirasai pengundi di kawasan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam tadi, mendiang yang memandu kenderaan jenis Nissan x-Trail dari arah Kuala Lumpur ke Kajang, maut selepas melanggar belakang sebuah lori di KM11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Tien Chee maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, ADUN DAP itu berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan Pas dengan majoriti 35,538 undi.

Sementara itu, Timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui turut melahirkan perasaan sedih terhadap kejadian yang menimpa Tien Chee.

“Saya hendak ucap takziah kepada keluarga. Beliau merupakan wakil rakyat yang aktif dalam sidang dewan dan kita berharap keluarganya bersabar dalam menghadapi musibah ini.

“Kita akan melihat keluarganya dan akan memberikan perhatian, ini perkara yabg di luar jangkaan,” ujarnya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi. – MalaysiaGazette