Kenderaan Nissan XTrail yang dinaiki ADUN Balakong Ng Tien Chee sebelum maut dalam kemalangan awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang unsur jenayah hasil siasatan polis dalam kemalangan yang meragut nyawa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, setakat ini tiada sebarang bukti menunjukkan adanya unsur sabotaj atau khianat dalam kemalangan itu.

“Saya berada di lokasi awal pagi tadi, berdasarkan maklumat daripada pegawai penyiasat dan pemerhatian saya, tiada sebarang unsur jenayah melibatkan kemalangan itu.

“Dakwaan yang mengatakan terdapat kesan minyak di atas jalan hingga mengakibatkan kemalangan, adalah tidak benar.”

“Kerana hasil soal siasat ke atas seorang saksi yang menyaksikan kemalangan itu, kereta yang dipandu Tien Chee cuba memotong kenderaannya yang sedang dipandu di lorong tengah,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini hari ini.

Pihaknya yakin, selepas mangsa memotong kereta saksi, beliau tidak sempat mengelak sebuah lori yang sedang menjalankan kerja pembersihan jalan di lorong kanan lalu terlanggar bucu kiri lori terbabit.

Menurut Dzaffir lagi, proses bedah siasat ke atas mendiang Ng masih dijalankan di Hospital Serdang ketika ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tengah malam tadi, Ng disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, Cheras kira-kira 12.40 tengah malam selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa dipercayai terlanggar belakang sebuah lori milik syarikat konsesi Lebuhraya Grand Saga.- Bernama