Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad turut hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Padang Perbandaran Ampang Jaya, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 21 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Pas dan UMNO adalah ‘adik-beradik’ selepas Pas tidak meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

“Memang dia (PAS dan UMNO) adik-beradik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pas yang didakwa seolah-olah memberi laluan mudah kepada UMNO dengan tidak meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi DUN itu.

PRK Sungai Kandis dijalankan susulan penyandangnya, Mat Suhaimi Shafie, 49, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Subang kira-kira jam 11.10 pagi pada 2 Julai lalu.

Allahyarham selaku ADUN daripada PKR meninggal dunia akibat penyakit kanser limfoma selepas menjalani rawatan di SJMC sejak pertengahan Jun lalu.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis 4 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR, Barisan Nasional (BN) dan Bebas. – MalaysiaGazette