Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pameran GRADUAN Aspire 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JULAI 2018.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Dakwaan serta persepsi kononnya masyarakat tempatan terutamanya golongan belia tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar sebenarnya tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, kumpulan ini rela melakukan pekerjaan sedemikian walaupun secara ‘haram’ di luar negara seperti Korea Selatan atau Australia kerana diberikan gaji lumayan.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, beberapa bidang pekerjaan seperti pembinaan, perladangan dan perkilangan, gaji yang ditawarkan di negara ini terlampau rendah berbanding negara luar.

“Ini adalah realiti dan hakikat sebenarnya. Ada sahaja rakyat khasnya golongan muda sanggup berhijrah ke negara luar seperti Korea dan Australia untuk bekerja sebagai pemetik buah atau dalam bidang pembinaan.

“Sudah tentu gaji yang diberikan itu sebenarnya di bawah gaji minima di negara itu, tetapi jika hendak dibandingnya ianya jauh lebih lumayan dan menguntungkan. Ini antara punca mengapa walaupun ianya dalam ketegori 3D, bebanan berat tetapi mereka sanggup.

“Persepsi bahawa rakyat kita tidak mahu bekerja dalam bidang tertentu itu sebenarnya tidak benar, kita perlu melakukan sesuatu. Gaji yang tidak setimpal dikatakan menjadi punca, hal berkenaan menyebabkan syarikat atau majikan di negara ini enggan menggaji pekerja tempatan dan sebaliknya cenderung memilih pekerja asing yang memerlukan kos lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran kerjaya dan pasca ijazah, GRADUAN Aspire 2018 di sini hari ini.

Jelas Syed Saddiq, pihaknya kini dalam rangka menubuhkan sebuah jawatnkuasa khas bersama kementerian-kementerian lain yang bakal melihat bagaimana boleh menangani isu ini daripada berterusan menjadi isu menghantui golongan belia di negara ini.

“Saya rasa amat terganggu apatah lagi kadar pengangguran yang dikeluarkan oleh Bank Negara awal tahun sangat membimbangkan, kadar pengangguran belia berada tiga kali ganda tinggi berbanding kadar nasional.

“Persoalannya, apa yang kita boleh lakukan untuk tangani masalah ini dalam memastikan anak muda di negara dapat peluang pekerjaan yang secukupnya bukan sahaja yang berkualiti.

“Situasi negara yang dibanjiri pekerja asing terutamanya dalam bidang 3D amat kritikal. Kita lihat orang muda sewenang-wenangnya dipersalahkan kononnya malas buat kerja kotor seperti mencuci longkang, mengutip sampah dan sebagainya. Siapa yang kata orang muda tidak mahu lakukan kerja sedemikian.

“Di Pulau Pinang sebagai permulaan ketika ini umpamanya, untuk pekerjaan seumpama itu diberikan insentif khas selain daripada gaji minima, mungkin langkah seperti ini akan membantu kita sebenarnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika berucap, Syed Saddiq yang merupakan ‘Menteri Paling Muda Negara’ turut memberi ‘kata-kata’ semangat kepada hampir 1000 graduan untuk bersedia secara lebih mandiri untuk meneroka dan menerajui kerjaya diceburi supaya mampu menghadapi cabaran serta merebut peluang.

“Seseorang graduan bukan hanya perlu memiliki pencapaian akademik yang baik tetapi juga menguasai kemahiran insaniah diperlukan majikan, termasuk dari segi keupayaan berkomunikasi dan karakter positif,” ujarnya.

Sementara itu, pameran kerjaya dan pasca ijazah, GRADUAN Aspire 2018 yang sudah bermula sejak tujuh tahun lepas merupakan antara platform peluang pekerjaan dinamik mendapat sambutan setiap berikutan pelbagai penyertaan daripada syarikat terkemuka.

Menurut Pengarah Urusan GRADUAN Aspire, Elia Talib, pihaknya sentiasa mendapat kerjasama dengan nama-nama besar di negara ini termasuk Maybank, Axiata, MDEC, Shell, Tenaga Nasional, Gamuda Dell, Shoppe, Traveloka dan banyak lagi.

“Kita sebenarnya bukan baharu malah sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, seawal 1994 tetapi ketika itu kita banyak anjur program seumpama ini di luar negara. Sejak 2011, kita mula di sini yang setakat ini telah memberi manfaat besar sekurang-kurangnya 250,000 graduan.

“Pameran dua hari yang bermula hari ini memainkan peranan besar dalam memberi manfaat kepada tenaga kerja tempatan kita kerana ia berfungsi sebagai pemadan bagi syarikat dan pelajar universiti,” ujarnya.

GRADUAN Aspire 2018 yang diadakan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini dan esok dijangka menarik lebih 60,000 pengunjung dengan penyertaan 150 syarikat terkemuka tempatan dan dunia. –Malaysia Gazette