Anthony Loke

SEREMBAN – Perkhidmatan Ekspress Komuter Seremban–Nilai–KL Sentral yang akan mula beroperasi Rabu ini adalah sebahagian usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat menaiki pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata perkhidmatan ekspres ini akan menawarkan satu trip sehala dari Seremban ke KL Sentral pada waktu pagi dan satu trip dari KL Sentral ke Seremban pada sebelah petang, dan hanya ditawarkan pada hari bekerja sahaja.

“Pada sebelah pagi, ia akan bermula di Seremban jam 7.08 pagi, tiba di Nilai pada jam 7.25 pagi, dan berhenti seminit untuk mengambil penumpang sebelum meneruskan perjalanan ke KL Sentral yang dijangka tiba jam 8.19 pagi.

“Pada sebelah petang pula dari KL Sentral jam 5.55 petang, tiba di Nilai jam 6.50 petang dan dijangka tiba di stesen Seremban pada jam 7.10 malam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Dun Lobak, di sini hari ini.

Loke berkata buat masa ini tambang perjalanan yang dikenakan adalah sama dengan tambang biasa, iaitu dari Seremban ke KL Sentral RM8.70, Nilai ke KL Sentral RM7 dan Nilai ke Seremban RM3.60.

Beliau berkata perkhidmatan ekspres ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah dilaksanakan sebelum ini namun diberhentikan beberapa tahun lepas.

“Saya berjumpa dengan pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sebulan yang lepas dan minta mereka untuk memulakan kembali perkhidmatan ekspres ini memandangkan ramai penduduk Seremban  bekerja di Kuala Lumpur.

“Tren ini juga tren tambahan dan ia tidak mengganggu jadual perjalanan tren sedia ada,” katanya.

Beliau berkata tren ini mampu memuatkan 1,118 penumpang pada satu-satu masa, iaitu 328 tempat duduk dan 790 muatan penumpang berdiri.

Ditanya kemungkinan tren ini menghadapi masalah menepati waktu perjalanan, Loke berkata beliau akan memastikan waktu perkhidmatan tren ini dipantau dan meminta pihak KTMB untuk menghantar laporan  kepada pihaknya.

“Saya akan cuba pastikan tren ekspres ini sampai tepat pada masanya dan saya telah meminta pihak KTMB untuk membuat satu aplikasi web dan mobile untuk memudahkan para penumpang memeriksa waktu perjalanan tanpa perlu tunggu di stesen-stesen,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata Pusat Khidmat Dun Lobak yang dirasmikan hari ini dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk sekitar. – Bernama