Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan) diiringi Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin (tengah) memotong kek sempena pada Sambutan dan Jamuan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JULAI 2018
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan) diiringi Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin (tengah) memotong kek sempena pada Sambutan dan Jamuan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JULAI 2018

BANGI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pemimpin belia harus dibenarkan mengkritik kerajaan.

Ujarnya, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Belia Malaysia (MBM) perlu pengkritik bagi memastikan golongan belia menjadi kumpulan mendesak selain semak imbang kepada kerajaan masa kini.

“Di era Malaysia Baru ini, peranan dan suara pemimpin belia khususnya MBM amat penting dalam menjayakan agenda reformasi kerajaan serta kumpulan pendesak sebagai mekanisme semak imbang terhadap segala polisi dan keputusan yang berkaitan kepentingan belia dan rakyat.

“Zaman budaya takut sudah berlalu, pemimpin belia harus bebas mengkritik namun memberikan idea yang konstruktif kepada kerajaan selama mana menjaga adab keagamaan dan tatasusila ketimuran yang tinggi,” katanya dalam ucaptama perasmian Majlis Sambutan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia di Bangi Avenue hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Pakatan Harapan (PH) itu mahu MBM terus jadi ‘rakan pembangunan’ kerajaan dalam mendidik golongan belia dalam menjadi pelapis kepada kepimpinan negara.

Menurut Wan Azizah, MBM digesa untuk menjadi ‘jambatan’ antara belia dengan kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan memerlukan peranan MBM sebagai dan teras dalam melahirkan kepimpinan yang berkaliber di negara ini.

“Jika dulu, semasa zaman 70-an, 80-an dan 90-an, kebanyakan belia secara sukarela melibatkan diri dalam pertubuhan. Keadaan tersebut amat berbeza dengan belia masa kini yang mempunyai minat dan kehendak yang pelbagai. Mereka sering bertanya apa faedah yang mereka peroleh jika melibatkan diri dalam pertubuhan,” kata Wan Azizah. -MalaysiaGazette