Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi penggal 2018.
Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir

KLANG – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, janji Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetap ditunaikan walaupun lambat. 

“Apa juga yang kami janji akan kami kotakan kalau tak cepat, lambat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Taman Sri Andalas bersama-sama calon PKR untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Zawawi Ahmad Mughni. 

Pakatan Harapan semasa membentangkan manifestonya membahagikan di antara 100 hari dan jangka masa panjang untuk menunaikan janjinya. 

Sebanyak 10 janji  akan dilaksanakan dalam  tempoh 100 hari, antara ialah memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), mengembalikan semula subsidi bahan bakar secara bersasar, menangguhkan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan  menyamaratakan gaji minimum. 

Selain itu Pakatan harapan berjanji menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, mengkaji semula langkah pemberian projek mega kepada negara asing, menubuhkan pasukan bertindak untuk mengkaji memulangkan autonomi  dan meningkatkan akses, kualiti perkhidmatan kesihatan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata, kerajaan Pakatan Harapan sanggup menanggung dosa sekiranya gagal menunaikan janji-janji yang telah ditaburkan kepada rakyat pada PRU14.

Dalam pada itu Mukhriz yang juga bekas pemimpin UMNO mengaku baru menyedari bahawa parti itu mengamalkan politik perkauman sejak bersama PKR, DAP, dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam Pakatan Harapan. 

“Sebagai bekas penimpin dalam UMNO saya mengakui setelah saya bersama-sama bergerak dengan komponen pembangkang masa itu saya melihat sendiri.

“Saya ternampak satu perkara yang terlindung dari saya sebelum ini iaitu politik perkauman yang tidak boleh diamalkan di dalam negara ini,” tambahnya sambil meminta pengundi di DUN Sungai kandis menolak calon dari Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam yang menggunakan isu agama dan perkauman sebagai strategi berkempen. -MalaysiaGazette