Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow

KUALA LUMPUR – DAP akan meminta Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof P Ramasamy tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan kononnya beliau menyokong pemberontakan Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE) di Sri Lanka.

Naib Presiden DAP,  Chow Kon Yeow berkata, pihaknya membiarkan Ramasamy untuk memberi penjelasan kerana Timbalan Ketua Menteri itu jauh lebih arif dengan penglibatan misi pengamanan beliau dengan LTTE.

“Kita minta Ramasamy bagi penjelasan daripada berterusan buat spekulasi. Beliau lebih tahu.

“Lebih sesuai juga untuk Ramasamy untuk beri penjelasan kepada pihak-pihak yang mahu tahu. Setahu saya beliau mengambil bahagian bukan sahaja dalam misi pengamanan di Sri Lanka tetapi juga di Acheh.

“Dan semua itu juga dilakukan ketika beliau masih belum lagi ceburi bidang politik tetapi atas kapasiti beliau sebagai ahli akademik. Saya percaya beliau akan dapat jawab persoalan ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kon Yeow yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan demikian bagi mengulas dakwaan serta gesaan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang mahu DAP menyatakan pendirian parti itu terhadap Ramasamy yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Tambah Kon Yeow, beliau belum mengadakan perbincangan dengan Ramasamy berhubung perkara itu, malah tidak juga menyatakan apa jua tindakan akan dikenakan kelak tentang isu terbabit.

“Saya belum adakan sebarang perbincangan dengan beliau, tapi saya tahu dakwaan seperti ini bukan pertama kali saya dengar.

“Ramasamy pernah mendedahkan beliau bertindak sebagai ‘peacemaker’ dalam misi pengaman, itu sahaja,” ujarnya.

Sebelum ini,  Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan mendedahkan siasatan seterusnya akan dikendalikan oleh Bukit Aman kerana lebih 60 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung penglibatan Ramasamy dengan LTTE.

Sejak awal bulan ini, beberapa laporan polis dibuat terhadap Ramasamy berikutan bukti yang mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Perai itu terbabit dengan kumpulan LTTE di Sri Lanka, tersebar di laman sosial.

Polis telah mengambil keterangan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy berhubung dakwaan pembabitan beliau dengan kumpulan pelampau Tamil, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Polis telah mengambil keterangan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy berhubung dakwaan pembabitan beliau dengan kumpulan pelampau Tamil, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Namun demikian, Ramasamy tampil menafikan pembabitannya dengan LTTE, sebaliknya adalah ahli perunding dalam proses perdamaian antara kerajaan Sri Lanka dan kumpulan LTTE pada 2003 atas kapasiti pensyarah dan bukan sebagai ahli politik. – MalaysiaGazette