Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Mytown Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Putrajaya mengambil ketetapan untuk menukar nama rasmi segala projek perumahan kerajaan terdahulu yang menggunapakai perkataan ‘1Malaysia’.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, konsep yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi mimpi buruk kepada rakyat.

“Sememangnya dasar kerajaan Pakatan Harapan untuk menjenamakan nama semula semua projek baru yang dikendalikan kerajaan PH.

“Kita faham perkataan 1Malaysia menjadi mimpi buruk kepada rakyat Malaysia dan selepas PH menang dalam pilihan raya lepas, Insya Allah mimpi buruk itu kita akan perbaikinya, mencantikkan, menceriakan hidup rakyat,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan tambahan R Sanisvara Nethaji Rayer (PH- Jelutong).

Rayer yang bangun semasa sesi soalan tambahan lisan bertanya sama ada PH akan  membuang perkataan “1Malaysia” termasuklah projek perumahan PR1MA kerana  ia adalah sandiwara kerajaan BN kerana isu perumahan rakyat gagal diselesaikan.

Jawab Zuraida, kerajaan PH akan mempertimbangkan untuk menggugurkan konsep berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Zuraidah berkata, kerajaan  komited untuk menyediakan rumah kepada rakyat khususnya bagi golongan B40.

“Kita mengharapkan agar KPKT menjadi satu entiti perumahan seluruh negara yang akan mengelolakannya semua agensi ini agar dapat menghasilkan projek perumahan awam yang boleh dimanfaatkan,” katanya.

Bagaimanapun, ketika mengulas mengenai projek perumahan PR1MA yang dicetuskan kerajaan terdahulu, Zuraidah menggesa kerajaan-kerajaan negeri supaya memberi kerjasama dengan menyediakan tanah untuk projek tersebut. – MalaysiaGazette