TOKYO – Harga minyak Brent melonjak, meneruskan meraih keuntungan pada hari ketiga selepas Arab Saudi menggantung penghantaran minyak melalui Laut Merah.

Niaga hadapan minyak mentah naik sebanyak AS$0.66 atau 0.9 peratus kepada AS$74.59 setong.

Minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate juga naik kepada AS$69.52 setong.

Arab Saudi yang juga pengeksport terbesar minyak dunia berkata, ia terpaksa menggantung penghantaran minyak melalui laluan strategik Bab al-Mandeb selepas serangan ke atas dua kapal tangki besar oleh Yaman.

Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih dalam satu kenyataan berkata, pemberontak Houthi telah menyerang dua kapal tangki minyak terbesar di Laut Merah pada pagi Rabu.

Salah satu daripada kapal tangki itu mengalami kerosakan minimum.

“Arab Saudi menghentikan sementara semua penghantaran minyak melalui Selat Bab-Mandeb sehingga keadaan menjadi lebih jelas dan transit maritim melalui Bab al-Mandeb selamat,” kata menteri itu.

Kebanyakan eksport dari Teluk transit di Terusan Suez dan saluran paip TERED juga melalui selat Bab al-Mandeb.

Dianggarkan 4.8 juta tong sehari minyak mentah dan produk petroleum ditapis dibawa ke Eropah, Amerika Syarikat dan Asia melalui laluan tersebut pada tahun 2016, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette