Azman Mokhtar

KUALA LUMPUR – Sembilan pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar telah melepaskan jawatan.

Turut melepaskan ialah Pengerusi Eksekutif Khazanah, Tan Sri Mohd Tan Sri Md Nor Md Yusof.

Straits Times melaporkan, peletakan jawatan itu dibuat semasa mesyuarat khas lembaga pengarah Khazanah Selasa lalu.

Peletakan jawatan mereka dipercayai selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Khazanah yang dikatakan telah menyimpang daripada tujuan penubuhannya bagi membantu Bumiputera.

“Tan Sri Azman dan pengarah Khazanah mengadakan mesyuarat khas lembaga pada lewat petang Selasa dan memutuskan untuk menandatangani surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh yang kemudiannya diserahkan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” menurut laporan akhbar itu yang memetik sumber sebagai berkata.

Pengarah-pengarah Khazanah yang lain termasuk Datuk Seri Nazir Razak, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Tan Sri Andrew Sheng, Datuk Dr Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng. – MalaysiaGazette