Timbalan Presiden PAS bercakap di Lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Perkahwinan bawah umur tidak sepatutnya menjadi isu sebaliknya peratusan penceraian yang perlu diberi perhatian.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekalipun perkahwinan bawah umur membimbangkan pada masa kini, ianya tidak menjadi masalah sekiranya perkahwinan itu tidak menyumbang kepada peningkatan kes penceraian dalam negara.

“Apa masalah sebenar kita? Mereka ini berkahwin dan peratus penceraian perlu dibuat penelitian, apakah peratusan perceraian bawah umur meningkat tinggi berbanding yang dewasa?

“Jadi saya fikir perlu tengok keseluruhan isu ini, bukan hanya faktor umur sahaja.

“Saya lebih suka melihat kalau kita kahwin umur 18, 20 tahun sekalipun, yang penting ialah sistem pendidikan kekeluargaan kepada mereka,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusuf Rawa yang mahu menyekat perkahwinan bawah umur dan kerajaan boleh mengharamkannya jika melibatkan eksploitasi kanak-kanak.

Tuan Ibrahim walaubagaimanapun tidak menolak keperluan untuk kerajaan cmpur tangan demi kepentingan dan keselamatan rakyat.

Namun katanya, perkara itu perlu diteliti daripada pelbagai aspek khususnya keterbukaan agama lain dalam aspek perkahwinan bawah umur sebelum ini.

“Soal kalau ada eksplotasi memang kita akui bahawa kerajaan perlu (campur tangan).

“Cuma perkara ini perlu diteliti dalam banyak perkara, banyak sudut, sebab perkahwinan bawah umur ini bukan melibatkan Islam sahaja bahkan banyak yang di kalangan pengabut agama lain, bangsa lain.

“Sebagai contoh Orang Asal, sudah menjadi budaya orang asal kahwin di bawah umur 15 dan 16 tahun, jadi saya nak lihat isu ini dalam kerangka yang besar,” katanya. – MalaysiaGazette