Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga menyarankan majikan di sektor swasta memberi kelonggaran kepada pekerja yang mempunyai anak yang dijangkiti wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). 

Hannah Yeoh berkata, majikan dicadang mempertimbangkan untuk pemberian cuti atau bekerja dari rumah kepada pekerja yang terlibat. 

“Saya rasa kalau anak ada simptom ini, baik jaga anak di rumah, majikan juga tolong ada timbang rasa, sebab ada majikan tidak faham.

“Benarkan kerja dari rumah dalam tempoh wabak itu. Kalau ada kes seperti itu sudah tentu kena berita tahu majikan untuk buktikan,” katanya kepada penberita ketika ditemui di lobi Parlimen. 

Wabak HFMD menunjukkan peningkatan sebanyak 63.4 peratus.

Selasa lalu, sebanyak 18 premis ditutup membabitkan enam taska dan 12 buah tadika serta pra-sekolah.

Jumlah premis yang ditutup sehingga kini adalah 419 iaitu  198 taska, 197 tadika dan prasekolah serta 23 sekolah.

Hannah dalam masa yang sama juga meminta mana-mana syarikat atau pusat beli-belah yang mempunyai kemudahan untuk kanak-kanak supaya menjaga kebersihan terutama pada masa-masa kritikal seperti ini. 

“Fasiliti untuk kanak-kanak seperti troli dan semua benda  perlu dibersihkan setiap hari,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette