Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK,

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mencatatkan sejarah tersendiri apabila berucap kali pertama sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.

Dalam ucapan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Najib berkata, ini kali pertama beliau berucap sejak sidang dibuka pada 16 Julai lalu.

“(Hari ini) pertama dalam sejarah saya berucap sebagai pembangkang,” kata bekas Perdana Menteri, ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong.

Najib dan Barisan Nasional (BN) merupakan pembangkang buat kali pertama apabila kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Selain BN, parti Pas juga adalah pembangkang kerana tidak menyertai Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Pekan itu juga berkata, beliau akan membantu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan pihak pembangkang menjadi pasukan semak dan imbang (check and balance) kepada kerajaan.

“Saya juga akan bantu Ahli Parlimen Bagan Datuk sebagai Ketua Pembangkang,” katanya lagi.

Dalam ucapan itu juga, Najib melahirkan rasa bimbang beliau terhadap nasib golongan Felda di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

“Sebaik sahaja PH mentadbir mereka tidak endahkan golongan peneroka, hari peneroka tidak disambut.

“Manifesto PH ingin membatalkan hutang peneroka dalam 100 hari, tapi apa jadi dengan janji ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette