Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (kanan) diiringi Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Yb Dr. Xavier Jayakumar (tiga kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Sambutan Hari Tanah Negara 2018 di PICC, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menafikan Kerajaan Persekutuan bersetuju pengambil alihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Holding (SPLASH) dengan nilai RM1.9 bilion. 

Beliau sebaliknya berkata, tarikh rundingan akan tamat pada  pada 10 Ogos tanpa menyebut nilai. 

“Tidak… Saya tidak menyebut apa-apa amaun kerana kuantum itu  merupakan kes berdasarkan kesanggupan pembeli dan penjual, jadi ia antara Air Selangor (milik negeri) dengan SPLASH.

“Apabila mereka bersetuju, mereka akan datang kepada kami (Kerajaan Persekutuan) dan kemudian kami akan memudahkan pemindahan,” katanya kepada pemberita pagi ini.

Beliau berkata demikian diminta mengulas laporan The Straits Times hari ini mengenai rundingan pembiayaan kewangan bersama itu berlaku pada minggu lalu.

Kerajaan Persekutuan didakwa akan menyumbang hampir keseluruhan kos itu, sementara kerajaan negeri pula perlu menyumbang kurang daripada separuh jumlah tersebut.

The Straits Times turut melaporkan Kerajaan Persekutuan dijangka membayar RM1.8 bilion kepada SPLASH.

Sehingga kini, kata Xavier rundingan antara pihak yang berkenaan sedang berjalan.

“Rundingan sedang berjalan kerana saya telah memberi mereka tarikh akhir dan saya harap mereka dapat mematuhi tarikh akhir itu. Pada 10 Ogos, saya berharap kita dapat sekurang-kurangnya mendapatkannya (pemindahan),” kata beliau lagi ketika ditemui pada majlis perasmian Sambutan Hari Tanah Negara.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, proses pengambilalihan SPLASH oleh Kerajaan Selangor ditangguhkan buat kali ketiga sehingga 4 Julai 2018.

Ia kemudian dilanjutkan hingga 10 Ogos pula.

Sementara itu, Xavier berkata, kerajaan sedang membuat kajian keperluan untuk meminda perundangan tanah demi memantapkan  pengurusan pentadbiran dalam budang itu.

Jelas beliau, pelaksanaan tersebut akan dinilai selaras dengan kepesatan dan pembangunan negara masa kini.

“Untuk makluman, bagi memantapkan lagi pengurusan pentadbiran tanah, beberapa kajian sedang dilaksanakan bagi menyemak semula keperluan pindaan kepada perundangan tanah semasa agar selari dengan kehendak dan kepesatan pembangunan,” katanya. -MalaysiaGazette