Seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun antara 114 individu yang ditahan disyaki terlibat dalam operasi khas membanteras perjudian tanpa lesen di Jalan Bandar Rawang 3, Rawang, dekat sini, awal pagi ini.
Seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun antara 114 individu yang ditahan disyaki terlibat dalam operasi khas membanteras perjudian tanpa lesen di Jalan Bandar Rawang 3, Rawang, dekat sini, awal pagi ini.

RAWANG – Seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun antara 114 individu yang ditahan disyaki terlibat dalam operasi khas membanteras perjudian tanpa lesen di Jalan Bandar Rawang 3, Rawang, dekat sini, awal pagi ini.

Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan melibatkan pemeriksaan di 10 premis itu bermula pada 6 petang semalam hingga 1 pagi tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang turut menyertai operasi berkata daripada 114 individu yang ditahan itu, 42 daripadanya adalah penjaga premis judi dan 72 lagi pelanggan berumur 18 hingga 59 tahun.

Beliau berkata dalam operasi ini, sebanyak 208 mesin slot, 73 simulator, 63 cip tambah nilai dan wang tunai RM16,808 dirampas.

“Harga sebuah mesin slot mampu mencecah kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 yang menjadikan nilai rampasan lebih RM1juta,” katanya dalam sidang media operasi khas banteras perjudian haram, di sini.

“Seperti yang kita lihat, ada juga kanak-kanak umur 10 tahun yang ditahan kerana dibawa ibu bapanya yang datang bermain judi tanpa lesen.

“Perkara ini amat serius dan kami bertekad untuk membanteras kegiatan itu yang banyak mendatangkan masalah sosial dalam masyarakat,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata sejak diumumkan penubuhan bilik gerakan khas judi tanpa lesen pada 20 Julai lepas, pihaknya menerima lebih 100 maklumat di seluruh negara.

“Sebaik menerima maklumat itu, kami terus membuat serbuan bagi membanteras kegiatan judi haram di seluruh negara,” katanya.

Beliau juga mengarahkan Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah di seluruh negara agar melaksanakan operasi membanteras perjudian.

Bagi mengelakkan premis judi yang diserbu beroperasi kembali, Mohamad Fuzi berkata pihaknya akan meneliti modus operandi perjudian yang digunakan mereka untuk mengaburi mata pihak berkuasa serta bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor bagi mengekang kegiatan itu.

Turut hadir dalam operasi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

— BERNAMA