M. Kulasegaran.
M. Kula Segaran.

IPOH – Kerajaan Malaysia berharap kerajaan Nepal akan mempertimbangkan semula keputusannya menyekat pekerjanya daripada datang ke negara ini untuk bekerja.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata keputusan itu akan memberi kesan besar untuk mendapatkan tenaga pekerja asing selain menjejaskan beberapa sektor di negara ini.

“Keputusan itu amat dikesali, saya dimaklumkan hari ini bahawa Nepal telah menggantung penghantaran pekerja asing ke Malaysia.

“Seperti yang anda tahu, Malaysia mempunyai banyak sektor industri dan perladangan yang amat bergantung kepada tenaga pekerja asing,” kata beliau kepada pemberita selepas menutup Hari Kebangsaan bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Minggu OHS) di sini hari ini.

Kula Segaran berkata kerajaan akan cuba memudahkan dan membereskan keseluruhan kerja dengan memastikan dokumen pemprosesan semua pekerja asing menggunakan sistem kerajaan dengan kerajaan (G-TO-G).

Kula Segaran berkata beliau akan membawa perkara itu ke Kabinet untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan selain memikirkan untuk melawat Nepal bagi menangani isu tersebut.

“Selasa lepas, kedutaan Nepal dan kementerian saya telah bermesyuarat untuk menyelesaikan beberapa perkara yang boleh dipersetujui dan mekanisme untuk menangani isu ini.

“Saya akan menghubungi pesuruhjaya tinggi (Nepal) pada Isnin ini dan melihat apa yang kita boleh lakukan kerana ia memberi kesan kepada negara kita,” katanya.

Terdahulu, akhbar The Star melaporkan kerajaan Nepal telah melarang pekerjanya daripada datang ke Malaysia berkuatkuasa serta merta.

Langkah itu diambil ketika kerajaan Nepal menyatakan ketidakpuasannya terhadap keperluan imigresen ketat yang dihadapi oleh pekerja dari negara itu sebelum mereka dapat bekerja di negara ini.

Ini termasuk melalui sebuah syarikat swasta untuk pemeriksaan keselamatan dan kesihatan sebagai sebahagian daripada keperluan visa.

— BERNAMA

Kerajaan akan semak semula MoU kemasukan pekerja asing