Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan sebuah badan siasatan bebas bagi menyiasat kes gangguan seksual terhadap pegawai perubatan siswazah melibatkan seorang Ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah bermesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berhubung perkara itu.

“Susulan pembongkaran kes ini, lebih ramai pegawai perubatan termasuk pelatih perubatan siswazah tampil membuat aduan yang serupa kepada pejabat Menteri Kesihatan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui pelbagai saluran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr. Dzulkefly memberikan respons tersebut selepas memetik laporan sebuah akhbar berbahasa inggeris yang melaporkan bahawa berlaku gangguan seksual di sebuah hospital di ibu negara melibatkan seorang ketua jabatan dari sebuah unit.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua mangsa yang mengalami kekerasan atau gangguan di tempat kerja sama ada dalam bentuk fizikal, verbal, mental atau seksual untuk membuat laporan terus kepada Menteri Kesihatan di alamat emel [email protected].

“KKM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette