Rizam (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya ke atas Kula Segaran di IPD Shah Alam hari ini.
Rizam (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya ke atas Kula Segaran di IPD Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor meminta polis menjalankan siasatan segera ke atas Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran yang mengeluarkan kenyataan bahawa orang Melayu adalah bangsa pendatang di negara ini.

Ketuanya, Rizam Ismail berkata, kenyataan itu yang mengaitkan orang Melayu sebagai pendatang sangat serius dan perlu diambil tindakan setimpal agar perkara itu tidak berulang lagi dalam kalangan pemimpin politik.

Menurutnya, kalau Presiden ISMA, Abdullah Zaik pernah didenda di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1998 selepas tersiarnya laporan media bertajuk ‘Kedatangan pendatang Cina bersama penjajah British satu bentuk pencerobohan’ pada 30 Ogos 2016, kenapa hukuman sama tidak dikenakan ke atas Kula Segaran.

“Kenyataan ini amat sentisitf dan boleh mengganggu gugat keharmonian kaum, lebih lagi beliau adalah seorang menteri. Perkara ini tidak seharusnya keluar dari mulut menteri.

“Beliau seharusnya berhati-hati ketika memberi kenyataan dan fokus terhadap kerjanya bagaimana untuk meningkatkan prestasi di kementeriannya, bukan menipu rakyat dengan mereka fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Daerah (IPD) Shah Alam  di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Kula Segaran yang juga Naib Presiden DAP, meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang diucapkan dalam satu majlis di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Dalam kenyataan itu, beliau mendakwa menarik balik kenyataan berkenaan kerana tidak mahu kontroversi itu terus membarah.

Rizam mengingatkan pemimpin DAP itu agar menghormati Perlembagaan dan jangan sekali-kali cuba memanipulasi sejarah pembentukan negara Malaysia.

“Saya sekali lagi minta polis menyiasat Kula Segaran ini kerana beliau cuba mencetuskan api kemarahan orang Melayu dengan kenyataannya yang saya lihat beliau cuba untuk mengalih isu utama nasional,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast